Buletin

BENGKEL PEMURNIAN PERATURAN KESELAMATAN DAN LALULINTAS UniSZA

         Pada 3 April 2016, satu sesi perbincangan bersama Jabatan Keselamatan telah diadakan bagi memurnikan Peraturan Lalulintas dan Keselamatan UniSZA bertempat di Pejabat Keselamatan UniSZA. Sesi perbincangan tersebut juga dihadiri oleh wakil Pejabat Pendaftar, wakil Pejabat Penasihat Undang-Undang, wakil Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan wakil pejabat kolej kediaman.

        Pemurnian Peraturan lalulintas dan keselamatan ini bertujuan untuk memberi kuasa kepada Jabatan Keselamatan dan memudahkan mereka dalam melaksanakan tugas rasmi mereka tanpa sebarang sekatan.

        Pemurnian Peraturan lalulintas dan keselamatan ini adalah termaktub kepada semua warga UniSZA termasuklah kakitangan UniSZA, pelajar, kontraktor, pelawat dan individu lain yang menghadirkan diri di dalam premis Universiti.

        Dengan adanya pemurnian peraturan lalulintas ini, isu keselamatan seperti kawalan trafik dan didikan untuk semua warga UniSZA dalam mematuhi peraturan lalulintas di dalam dan di luar kawasan Universiti akan dapat dipertingkatkan disamping sistem pentadbiran menjadi lebih teratur.

 BENGKEL DAN BENCHMAKING VISIT KE UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM), PULAU PINANG

        Bengkel dan benchmaking visit ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang merupakan program pertama yang diadakan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak bagi sesi 2016.

        Program ini berlangsung selama satu (1) hari sahaja iaitu pada 17 Mei 2016 bersamaan hari Selasa pada jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang, bertempat di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Program ini melibatkan wakil-wakil Pejabat Penasihat Undang-Undang daripada UniSZA dan USM.

Antara aturcara yang berlangsung pada hari program dijalankan ialah:

          9:00 pagi : Ketibaan delegasi UniSZA ke USM
          9:15 pagi : Makan pagi
        10:00 pagi : Delegasi daripada UniSZA dibawa melawat ke dalam bangunan Pejabat Perundangan, USM
        10:30 pagi : Delegasi daripada UniSZA dibawa ke bilik mesyuarat Pejabat Perundangan, USM untuk berbincang dan berkongsi pendapat mengenai sistem                                 pentadbiran dan pengurusan Pejabat Perundangan, USM serta cara pengendalian kes tatatertib staf dan pelajar di USM
12:30 tengahari : Makan tengahari
      2:00 petang : Perbincangan diteruskan dengan sesi perbincangan mengenai perincian semakan MoU dan juga gantian bagi perlanggaran dan pecah kontrak
      3:45 petang : Delegasi UniSZA dibawa melawat sekitar USM
      4:30 petang : Minum petang dan sesi penyampaian cenderahati kepada wakil USM
      5:00 petang : Bersurai

Objektif program ini direncanakan adalah seperti berikut:

a) Melihat sistem pentadbiran dan pengurusan pejabat yang digunapakai oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang USM disamping berkongsi ilmu dan kepakaran
b) Mempelajari tentang perincian semakan dokumen perjanjian/ kontrak Universiti/ MOU etc
c) Mempelajari cara pengendalian kes tatatertib staf dan pelajar
d) Mendalami lain-lain isu perundangan yang berkaitan dengan Universiti
e) Mempelajari proses tuntutan gantirugi bagi kes perlanggaran/ pecahan kontrak, dan
f) Mengeratkan hubungan silaturrahim sesama wakil Pejabat Penasihat Undang-Undang

         Di akhir program lawatan ini, Pegawai Undang-Undang UniSZA, Cik Ahlaam Yusof (L44) dan Salwani Mahasan (L41) telah menyampaikan sedikit cenderahati kepada wakil daripada USM, Penasihat Undang-Undang, Dr. Khairul Anuar Che Azmi dan Pegawai Undang-Undang, Encik Mohd Izwan Hamdan dan berharap agar lawatan ini sedikit sebanyak dapat membawa perubahan yang jauh lebih baik kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang, UniSZA disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama wakil Universiti.

TAKLIMAT DAN PROGRAM BERSAMA AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN (AADK)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali lagi telah bekerjasama dengan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Negeri Terengganu bagi menganjurkan Taklimat dan Program Saringan Ujian Air Kencing kepada kakitangan sasaran di UniSZA.

Tujuan program ini diadakan adalah bagi mengesan dan membanteras penyalahgunaan dadah, memastikan tiada warga UniSZA yang terlibat dengan gejala negatif serta menjadikan UniSZA sebagai Kampus Bebas Dadah.

Di antara Pusat Tanggungjawab (PTj) yang terlibat ialah Pejabat Penasihat Undang-Undang, Unit Latihan dan Kompetensi, Bahagian Pembangunan Kerjaya, Pejabat Pendaftar dan Jabatan Keselamatan.

Seramai 65 orang kakitangan telah menjalani saringan ujian air kencing ini dimana ianya melibatkan kumpulan sasaran di semua PTj. Program ini telah diadakan pada 26 Disember 2017 bersamaan pada hari Isnin di Dewan Gemilang, UniSZA Kampus Gong Badak. Program ini berjaya dijalankan dengan lancar dan mendapat kerjasama daripada semua pihak. Turut hadir adalah seramai 7 orang staf dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Negeri Terengganu.

Program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan kumpulan sasaran pilihan yang lain bagi memastikan warga UniSZA bebas sepenuhnya dari gejala dadah yang boleh merosak dan memusnahkan ini.