• Berita
  • SEMINAR PERSONAL DATA PROTECTION ACT 2010

SEMINAR PERSONAL DATA PROTECTION ACT 2010

DSC 3011 1000 Pada 12 Mac 2017, Pejabat Penasihat Undang-Undang, UniSZA telah menganjurkan satu program seminar yang bertajuk Personal Data Protection Act 2010. Seminar ini diadakan selama satu (1) hari yang bertempat di Dewan Auditorium Perpustakaan, UniSZA.

Para peserta yang disasarkan adalah 100 orang dimana 50 orang ialah warga UniSZA yang mengendali dan mengawal selia aktiviti pemprosesan data di jabatan masing-masing dan 50 orang lagi dari badan- badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan yang lain yang telah dijemput menghadiri seminar ini.

Bagi memastikan ketepatan maklumat yang disampaikan, dua (2) orang pakar dalam bidang ini dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah dijemput untuk menyampaikan ceramah mereka. Mereka ialah Prof. Dr. Ida Madieha binti Abdul Ghani Azmi dan Dr. Sonny Zulhuda. Kedua-duanya adalah pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Program seminar ini dibahagikan kepada dua (2) sesi pagi yang dikendalikan oleh Prof. Ida Madieha binti Abdul Ghani Azmi dan dua (2) sesi di waktu petang yang dikendalikan oleh Dr. Sonny Zulhuda.

Program seminar ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang kepentingan melindungi data peribadi dan kepentingan pengendalian maklumat dan data peribadi di jabatan masing-masing. Selain itu, para peserta dan urusetia juga berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat, pandangan, nasihat dan idea dengan para penceramah pakar yang dijemput.

Objektif program seminar ini adalah sepertimana berikut:

  • Memberi maklumat tentang undang-undang yang berkaitan dengan pemprosesan dan pengawal seliaan data peribadi oleh pengguna data.
  • Memberi kesedaran tentang kepentingan melindungi data peribadi dan juga akibat serta kesan penyalahgunaan data peribadi tersebut kepada pengguna data.
  • Menerapkan kesedaran tentang kepentingan mengawal apa-apa maklumat peribadi yang dikongsi dengan pihak lain dan juga mengambil tahu tujuan perkongsian data peribadi tersebut.

Di akhir program ini, Penasihat Undang-Undang Unisza, Prof. Dr. Zuhairah Ariff bt Abd Ghadas telah menyampaikan sedikit cenderahati kepada Prof. Ida Madieha sebagai penceramah bagi sesi pagi dan Pegawai Undang-Undang Kanan, Cik Ahlaam bt Yusoff telah menyampaikan sedikit cenderahati kepada Dr. Sonny sebagai penceramah bagi sesi petang.